link: Mananging Consultant

Cari Blog Ini

Kamis, 07 April 2011

Tokyo Disneyland ~ KOSMO

Tokyo Disneyland ~ KOSMO 18 Nov 2006

Statistiknya cukup hebat. Ia mampu meraih nilai kutipan tiket sebanyak USD132 juta (RM480 juta) dalam masa hanya 3 hari penayangan di pawagam. Demikianlah meriahnya filem cereka “Pirates of the Carribean 2; Dead Man’s Chest” keluaran Walt Disney. Walter Elias Disney, iaitu pengasas Walt Disney, mungkin telah pergi buat selama-lamanya sejak 1966, namun watak kelahiran Disney itu tetap hidup hingga kini.
Sejak kecil lagi saya meminati watak-watak kartun Disney. Minat tersebut tidak pernah terkubur walaupun usia telah mencecah ke alam dewasa. Mickey dan Minnie Mouse, Donald Duck dan Goofy, watak-watak tersebut sering bermain dalam fikiran. Saya juga menyimpan hasrat untuk mengunjungi Disneyland, taman tema paling ulung di dunia.
Kali pertama saya terlihat Tokyo Disneyland adalah ketika menaiki bas dari lapangan terbang Narita ke tempat penginapan di Hotel Holiday Inn Crowne Plaza di Ikebukuro, Tokyo. Hati begitu teruja apabila terlihat kastil Cinderella, ikon kepada taman tema yang menerima kira-kira 17 juta pengunjung setiap tahun. Kastil itu kelihatan sayup-sayup berdiri megah di Tokyo Bay, diselubungi kabus nipis.

Beberapa hari selepas tiba di Tokyo, saya dan beberapa rakan lain mencuba nasib menaiki densha, iaitu keretapi elektrik yang menjadi nadi pengangkutan utama di bandaraya Tokyo. Ketika itu musim luruh di Jepun dan hujan turun hampir setiap hari. Musim luruh di Jepun seringkali dikaitkan dengan ribut taufan, satu fenomena alam yang kerap mendatangkan kemusnahan di Negara matahari terbit itu.
Kami kemudiannya tiba di stesen Maihama, pintu masuk ke Tokyo Disneyland. Ketika itu hujan lebat dengan angin kencang melanda Tokyo Bay dan kastil Cinderella tidak kelihatan lansung. Puas kami menunggu, namun tiada tanda-tanda hujan ribut tersebut akan reda. Dengan hati yang berat, kami kemudiannya terpaksa berpatah balik ke tempat penginapan di Ikebukuro.
Beberapa hari kemudian, setelah berpindah ke Hotel Tokyo New Otani Inn, kami mencuba sekali lagi nasib untuk ke Tokyo Disneyland. Cuaca ketika itu agak baik dan kami berharap moga-moga kami akan berjaya juga untuk menjejakkan kaki ke taman tema itu. Kira-kira pukul 8.00 pagi, kami tiba di stesen Maihama untuk kali kedua. Kali ini hanya hujan renyai-renyai yang menyambut kedatangan kami.
Kami hanya mengambil masa 10 minit berjalan kaki dari stesen Maihama ke Tokyo Disneyland. Hati saya membuak-buak keujaan. Akhirnya sampai juga saya di mercu tanda yang menjadi impian sejak puluhan tahun. Kami tanpa berlengah-lengah terus mengeluarkan kamera, mengambil gambar berlatar-belakangkan kastil Cinderella, ikon yang selama ini hanya dilihat di kaca tv dan gambar-gambar poskad.

Tokyo Disneyland merupakan taman tema pertama dibina di luar tempat kelahirannya di Amerika Syarikat. Taman tema itu dibina di kawasan laut yang ditebus guna di Tokyo Bay, iaitu di Chiba Prefecture. Tokyo Disneyland dibuka dengan resminya pada 15 April 1983. Sejak dari tarikh itu, ia menerima kunjungan kira-kira 17 juta pengunjung setahun.
Kami membeli paspot masuk untuk sehari yang bernilai 5,500 Yen. Saya juga membeli sarung paspot bermotifkan Mickey Mouse dan mengepilkannya di jaket. Hujan renyai-renyai tetap turun namun pengunjung dari pelbagai lapisan umur tetap datang berbondong-bondong. Mendiang Walter Elias Disney, pengasas Disneyland, pernah berkata bahawa Disneyland adalah untuk semua.
Rambang mata dibuatnya sebaik kami melangkah masuk. Kami tidak tahu dari mana kami harus bermula. Selepas mentelaah direktori, saya mencadangkan supaya mencuba Space Mountain, permainan yang berasaskan roller coaster di Tomorrowland. Kami kemudiannya menuju Tomorrowland, dunia masa hadapan yang penuh dengan permainan futuristik seperti Space Mountain, Starjets dan Microadventure.
Kami menyertai ramai pengunjung yang berbaris panjang menunggu untuk menaiki roller coaster itu. Saya dapati Space Mountain amat diminati kerana kami terpaksa berbaris agak lama. Nota-nota amaran dipasang di beberapa tempat di sepanjang tempat kami berbaris. Nota-nota itu ditulis dalam bahasa Jepun dan Inggeris, dan memberitahu tentang risiko menaiki Space Mountain.
Space Mountain merupakan pengembaraan di galaksi yang jauh. Langitnya gelap pekat dengan bintang-bintang yang bergemerlapan. Apa yang menarik tentang perjalanan roller coaster itu adalah penumpang tidak tahu arah tuju kerana ia meluncur laju dalam gelap. Tidak kelihatan landasan yang memegang kenderaan tersebut. Kami meluncur laju ke atas, menjunam pantas ke bawah, serta ditolak ke arah kiri dan kanan.

Terjerit-jerit kami dibuatnya. Terteriak-teriak hingga hilang suara. Amat menggerunkan tetapi pada yang sama amat mengujakan. Pengembaraan serba laju itu hanya berlanjutan selama 3 minit tetapi ia dirasakan seperti tanpa penghujung. Kami menarik nafas lega apabila perjalanan ekstrem itu terhenti jua akhirnya. Kami kemudiannya berkunjung pula ke Toontown.
Toontown merupakan sebuah dunia kartun sehinggakan bangunan yang didirikan berbentuk herot dan dicat dengan pelbagai warna cerah yang memukau. Walaupun langit masih mendung dengan hujan renyai-renyai yang turun, Toontown masih ceria menerima kedatangan pengunjung yang tak putus-putus. Kami kemudiannya mengunjungi Mickey Mouse di rumahnya di Toontown.
Mickey Mouse merupakan watak kartun yang banyak menempa sejarah gemilang. Watak kartun ciptaan mendiang Walt Disney itu adalah watak kartun pertama dalam sejarah dijadikan filem animasi. Mickey Mouse juga dilahirkan sebagai watak kartun pertama yang boleh berkata-kata, di samping menjadi kartun pertama yang dikeluarkan dalam warna.

Pengalaman berada di rumah Mickey adalah sesuatu yang unik dan pada masa yang sama terasa aneh. Aneh, kerana segala-galanya bersifat 3-dimensi. Dunia kartun yang selama ini hanya mampu ditonton di kaca tv kini benar-benar dialami sendiri oleh pengunjung seperti kami. Ajaib sungguh apabila dunia yang penuh imaginasi ini kini menjadi realiti, ibarat mimpi dalam mimpi.
Pengalaman kami yang seterusnya di Toontown adalah menaiki roller coster Gadget’s Go Coaster. Tema itu adalah berdasarkan siri tv animasi kartun popular Chip ‘n Dale Rescue Rangers. Kami ber-roller coaster melalui dunia kartun Toontown dengan bangunannya yang pelik tetapi landskapnya menarik. Roller coaster yang berkelajuan maksima 35 km/jam itu mula beroperasi sejak 15 April 1996.
Banyak gambar yang saya rakamkan tatkala berada di sekitar Toontown. Antaranya, yang menarik perhatian saya adalah arca logam Pinnochio, yang dibina berhampiran pancutan air. Saya juga mengambil gambar di Fantasyland, dunia fantasi yang terkenal dengan perjalanan penuh misteri Cinderella. Cinderella, ibarat irama dan lagu, tidak dapat dipisahkan daripada rakan kerdil bertujuh, iaitu The Seven Dwarfs.

Destinasi kami seterusnya adalah Westernland, antara dunia tersohor di Disneyland dengan kehidupan koboi dan kaum pribumi Amerika Syarikat, iaitu Red Indian. Kami kemudiannya berlayar dengan Mark Twain Riverboat, bot yang digerakkan oleh kincir kayu yang mendapat kuasa dari stim. Walaupun hujan renyai masih turun, pelayaran itu tetap menarik ramai penumpang.
Mark Twain adalah nama pena bagi seorang penulis Amerika Abad ke-19, iaitu Samuel Langhorne Clemens. Beliau memberikan nafas baru kepada kesusasteraan Amerika melalui nevel klasiknya, iaitu The Adventures of Huckleberry Fin. Beliau juga menghasilkan novel Tom Sawyer dan tulisan beliau banyak berkisar tentang kehidupan di Sungai Mississippi, sungai yang banyak mewarnai sejarah silam Amerika.
Selepas itu kami berkunjung pula ke Big Thunder Mountain untuk mencuba sebuah lagi roller coaster. Kami terpaksa beratur-menunggu agak lama untuk naik. Roller coaster itu berkonsepkan keretapi yang beroperasi ketika kegemilangan mencari dan melombong emas. Kami menempuhi kawasan perlombongan di padang pasir yang tandus yang dipenuhi jurang dalam dan puncak bukit menjulang.
Kami juga bergerak laju menempuhi terowong usang, terowong yang penuh misteri. Kawasan lombong tinggal itu dikatakan berhantu. Sayup-sayup terdengar lolongan dan rintihan yang menyeramkan. Suara-suara itu datang daripada roh pelombong yang mati terperangkap, yang roh mereka tidak dapat bersemadi dengan tenang. Tetapi itu semua hanyalah ilusi dan bukannya realiti.

Westernland menjanjikan pengembaraan dan keseronokan tanpa penghujung. Country Bear Theatre, Tom Sawyer Island Raft dan Peco’s Goofy’s Frontier Revue merupakan antara tarikan yang menggamit pengunjung. Begitu halnya dengan Westernland Shooting Gallery, di mana kemahiran menembak dapat diuji melalui sasaran seperti botol yang melompat dan but koboi yang menari.
Pengembaraan kami tidak terhenti di Westernland sebaliknya berkesinambungan pula di Adventureland. Kami menaiki bot menyertai safari Jungle Cruise. Pengendali bot adalah seorang pencerita yang baik kerana penumpang tergelak besar setiap kali beliau bercerita. Cemburu juga saya dibuatnya kerana tidak faham, beliau bercerita dengan cerianya dalam bahasa Jepun.
Bot kami bergerak perlahan memudiki sungai yang sederhana lebarnya. Sungai itu mengalir di tengah-tengah hutan hujan Khatulistiwa yang tebal. Tiba-tiba kepala badak yang sangat besar keluar dari permukaan sungai. Kami begitu terperanjat sehinggakan ramai yang terjerit-jerit ketakutan. Rupa-rupanya kepala tersebut hanyalah sebuah robot tetapi kelihatan begitu hidup, kami tertipu dibuatnya!
Pengembaraan air kami tidak terhenti begitu sahaja di Jungle Cruise. Kami kemudiannya ‘main air’ lagi di Pirates of the Carribean. Tema yang sama digunakan ke atas filem cereka yang cukup popular di seluruh dunia. Filem box office tersebut mengisahkan pengembaraan dan telatah lucu Captain Jack Sparrow, seorang lanun yang sangat dikehendaki oleh Kerajaan Inggeris.
Bot yang kami naiki berlayar melalui kawasan laut dalam kegelapan malam. Langitnya hitam pekat tanpa berbintang, semuanya kelihatan begitu sepi. Tiba-tiba, keheningan malam dibingitkan oleh dentuman letupan meriam. Pihak lanun yang ber-maharajalela menembak ke arah kami. Percikan air jelas kedengaran, seolah-olah bola-bola besi lontaran meriam hampir-hampir mengenai bot kami.
Destinasi seterusnya adalah Swiss Family Tree House, iaitu rumah yang dibina di atas pokok, lengkap dengan segala kemudahan dan perkakasan sepertimana rumah yang biasa kita temui. Konsep ini diadaptasi dari sebuah siri tv yang pernah tersiar pada 1960, iaitu Swiss Family Robinson. Siri tersebut mengisahkan tentang sebuah keluarga yang karam di laut dan kemudiannya tinggal di sebuah pulau tak berpenghuni.
Tarikan lain di Adventureland termasuklah Westernland River Railroad, iaitu sebuah keretapi stim sebenar yang membawa penumpang mengelilingi Adventureland. Pengunjung juga boleh menyertai makan malam istimewa. Sambil menikmati hidangan, mereka akan dihiburkan oleh penari-penari Polynesia bersama dengan Mickey, Minnie dan Chip ‘n Dale di Minnie’s Polynesian Paradise.
Kami seterusnya berkunjung ke Visionarium, sebuah panggung unik yang layarnya merangkumi pandangan 360o. Kami berdiri selama 30 minit masa penayangan untuk menonton babak filem cereka yang dipancarkan melalui 9 lensa kamera robotik. Kami terpaksa berpusing hampir setiap masa supaya tidak terlepas pandang pemandangan melalui udara ketika berada di belon udara panas.
Belon tersebut bergerak pantas di angkasa melalui puncak-puncak gunung, lembah beralun berumput hijau yang memukau dan kawasan desa Eropah. Filem tersebut berkisar tentang pengembaraan melalui mesin masa, yang diadaptasi dari novel karangan Jules Verne. Jules Verne banyak menghasilkan cerita sains fiksyen seperti Journey To The Center Of The Earth dan The Time Machine.
Kami turut menjengah beberapa kedai menjual cenderahati yang banyak terdapat di sekitar Disneyland. Rantai kunci, kemeja-t dan anak patung merupakan di antara seribu satu barangan yang dijual. Saya membeli anak patung Baby Mickey dan baju panas Mickey Mouse. Saya juga membeli beberapa rantai kunci yang bermotifkan watak kartun popular Walt Disney seperti Donald, Pluto dan Goofy.
Kami berasa keletihan yang amat sangat setelah berada sekian lama di Tokyo Disneyland. Masa dirasakan berjalan begitu pantas dan tanpa kami sedari, kami telah berada di situ dari siang hinggalah ke malam. Kami kemudiannya meninggalkan perkarangan taman tema terulung yang keluasannya melebihi 100 ekar itu pada kira-kira pukul 8.30 malam.
Kami mungkin tidak mampu meneroka segenap penjuru kawasannya yang luas itu oleh batas masa, namun kami tetap gembira dan berpuas hati. Kami kemudiannya menaiki tren ke tempat penginapan di New Otani Inn di Sinagawa-ku. Kami pulang dengan keletihan tetapi apa yang pasti adalah ilusi kini menjadi realiti. Selamat tinggal Tokyo Disneyland, tempat di mana semuanya berkemungkinan untuk terjadi.

Tidak ada komentar: